The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Review Perlawanan LS10 : Selangor FC vs Sarawak United FC | Tiga Mata Berharga

Jun 21, 2022 - FAS

Tujuh jaringan bermakna buat Selangor FC dalam meraih tiga mata penuh menentang Sarawak United FC untuk saingan Liga Super 2022 di Stadium MBPJ pada hari Ahad yang lalu. 

Menurut Michael Feichtenbeiner, Ketua Jurulatih Selangor FC, bangga dengan pemain-pemain Gergasi Merah, "Saya cukup berbangga dengan semangat yang dipamerkan oleh kesemua pemain kerana mereka tetap memburu gol walaupun sudah mendahului perlawanan dengan selesa.

"Biarpun kehilangan 11 pemain atas menggalas tanggungjawab bersama pasukan kebangsaan namun semangat yang ditunjukkan dalam perlawanan ini sangat memberangsangkan walaupun pasukan berlatih dengan pemain yang cukup hanya beberapa hari sahaja," bangga Michael.

Beberapa aksi menarik dalam perlawanan #SFCSWU menjadi faktor utama Selangor FC meraih kemenangan:-

  1. Kapten pasukan, Brendan Gan kembali beraksi!

Setelah hampir separuh musim tidak dapat beraksi bersama rakan sepasukan, Brendan Gan kembali membuat penampilan pertama beliau dengan menjaringkan gol sulung Selangor FC seawal minit ke tujuh perlawanan. Biarpun beraksi untuk 45 minit sahaja, namun keberadaan beliau dilihat telah memberikan impak yang sangat besar terutamanya dalam memastikan pasukan 'organise' sepanjang separuh masa pertama..

  1. Hatrik Super League pertama Caion bersama Gergasi Merah.

Penyerang pasukan menunjukkan taring beliau dengan menjaringkan hatrik pada minit ke 45', 75' dan 88' perlawanan. Caion dilihat bukan sahaja memiliki penyudah yang baik, beliau juga banyak membuka ruang kepada rakan sepasukan untuk menjaringkan gol di setiap peluang yang ada di hadapan gawang pihak lawan.

Untuk pengetahuan, ini merupakan hatrik kedua Caion dalam rekod jaringan Selangor FC. Hatrik pertamanya adalah dalam saingan Piala FA menentang Harini FT.

  1. Aliff Haiqal membuka akaun jaringan!

Pada minit ke-91 perlawanan, pemain muda yang hampir separuh musim tidak beraksi atas faktor kecederaan kini kembali menyengat di atas padang dengan menjaringkan gol pertama beliau bersama pasukan utama Selangor FC. Beliau bukan sahaja membuka akaun jaringan dalam perlawanan ini tetapi pada minit ke-88 beliau telah menjadi pemain yang membantu Caion menjaringkan hatrik Super League pertamanya.

Selain itu, Hyuri Henrique telah menjaringkan gol keempat bersama Gergasi Merah pada minit ke-23 dan Hakim Hassan juga telah menjaringkan gol keduanya bersama pasukan dalam perlawanan ke-51.

  1. Tujuh gol telah di 'assist' oleh tujuh pemain muda pasukan.

Pemain-pemain muda Gergasi Merah, Quentin Cheng, Mukhairi Ajmal, Hein Htet Aung, Sharul Nazeem, Syahir Bashah, Aliff Haiqal dan Aliff Izwan telah mencatat satu bantuan jaringan setiap seorang untuk ketujuh-tujuh gol perlawanan ini. Kesemua mereka telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik biarpun separuh daripada mereka hanya berlatih beberapa hari sahaja bersama pasukan.

  1. Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan.

Kemenangan besar kali ini bukan sahaja tentang tujuh jaringan gol tetapi clean sheet yang telah diperoleh daripada aksi cemerlang barisan pertahanan. Yazan Al-Arab, Sharul Nazeem, Fazly Mazlan, Quentin Cheng dan Zikri Khalili telah mempertahankan kubu pasukan serta membantu Khairulazhan Khalid, penjaga gawang pasukan mematahkan serangan pemain-pemain Sarawak United FC.

Selangor FC sangat berbangga dengan pencapaian pasukan dan mengharapkan momentum baik seperti ini berterusan sehingga hujung musim. Tahniah Gergasi Merah! 

Perlawanan ini turut mengingati pemergian pemain berjersi nombor 7 pasukan Presiden Selangor FC, Allahyarham Husni Idrus yang telah pergi pada 25 Mei yang lalu.

“Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dan muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berikanlah kesabaran untuk ahli keluarganya.”

Demi Kebanggaan!